Friday



PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) –- Perlaksanaan Program Kelestarian Dicapai menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) telah meningkatkan perkongsian pasaran produk cekap tenaga lima bintang seperti peti sejuk dan penyaman udara sehingga 40 peratus.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata di bawah program itu, kerajaan memberikan rebat untuk pembelian peti sejuk dan penyaman udara ini oleh individu dan pertukaran pendingin cekap tenaga oleh pemilik bangunan komersil.

"Perkongsian pasaran bagi produk ini telah meningkat kepada 40 peratus daripada sasaran awal 25 peratus dan 26 peratus, sepanjang 12 bulan ini," katanya pada Sidang Kemuncak Tenaga Mapan 2012 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh ketua setiausaha kementeriannya Datuk Loo Took Gee.

Program SAVE termasuk rebat RM200 bagi pembelian unit peti sejuk, RM100 bagi penyaman udara dan RM200 bagi setiap tan pendingin kegunaan komersil. Rebat ini adalah yang pertama antara banyak lagi inisiatif untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan kegunaan tenaga yang berkesan.

-- BERNAMA

Wednesday

Tarif Elektrik Naik Lagi

Tarif Elektrik Naik Lagi

Semuanya naik dalam tahun 2013 dan 2014, petrol naik harga dan tarif elektrik pun naik lagi pada tahun 2014. Kenapa ini semua berlaku? Bila kerajaan menarik balik sejumlah subsidi, inilah yang berlaku ke atas pengguna. Kesannya memang terasa, teringat pula akan lagu kumpulan Gersang, "Masih Aku Terasa". Masih aku terasa kesannya bila petrol naik harga pada tahun 2013 dan kini akan terasa pula bila tahun 2014 akan berlaku pula kenaikan tarif elektrik.

tarif elektrik 2014

Berkuatkuasa 1 Januari 2014, tarif elektrik baru akan dilaksanakan sejajar dengan langkah Kerajaan melalui Program Rasionalisasi Subsidi. Berikut adalah fakta penting mengenai tarif baharu elektrik :
  • 70.7 % ( 4.6 juta ) pelanggan domestik tidak terjejas
  • TIADA KENAIKAN TARIF untuk penggunaan bulanan 200kWj pertama - sejak 1997
  • TIADA KENAIKAN TARIF untuk penggunaan bulanan daripada 201kWj untuk 300kWj - sejak 2009
  • Rebat daripada kerajaan untuk pelanggan dengan bil bulanan sebanyak RM20 atau ke bawah masih dikekalkan
  • Jalur Tarif telah dikurangkan kepada 5 jalur kepada 9 jalur untuk pemahaman bil yang lebih baik 
Antara beberapa ciri-ciri utama tarif baharu elektrik adalah seperti berikut:

Untuk Pelanggan Domestik
  • Tarif akan kekal pada 21.8 sen / kWj untuk 200kWj penggunaan elektrik pertama sebulan -  Ini merupakan hampir 50.4 % (atau 3.25 juta ) daripada semua pengguna domestik yang membayar RM43.60 atau kurang setiap bulan. 
  • Sebanyak 20.3% atau 1.3 juta pelanggan yang termasuk dalam jalur penggunaan dari 201kWj ke 300kWj tidak akan mengalami sebarang kenaikan sebanyak RM 33.40 sen / kWj
  • Secara purata, pengguna domestik akan mengalami kenaikan sebanyak 10.6% (3.03 sen/kWj)
Untuk Pelanggan Komersial
  • Purata perubahan tarif adalah 6.91 sen / kWj
  • Diskaun 10% untuk rumah-rumah kebajikan, sekolah-sekolah kerajaan, institusi pengajian tinggi kerajaan dan tempat-tempat ibadat dikekalkan
  • Hospital pengajian universiti yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan (USM, UKM & UM) juga akan menikmati diskaun 10%
Untuk Pengguna Perindustrian
  • Tarif Perindustrian Khas bagi operator air dan kumbahan akan diberi secara otomatik   
Seiring pelaksanaan IBR, Kerajaan juga akan memperkenalkan makanisma Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) untuk sektor tenaga. Di bawah ICPT, kos bahan api akan disemak setiap enam (6) bulan dan sebarang perubahan (kenaikan atau penurunan) dalam kos bahan api disebabkan oleh turun naiknya harga bahan api (iaitu gas, LNG, arang batu dan bahanapi alternatif) akan disalurkan di dalam tarif pengguna.
Bagi membantu orang ramai menjadi pengguna elektrik yang berhemah, TNB akan meneruskan Kempen Kecekapan Tenaga.

Maklumat terperinci boleh didapati di www.tnb.com.my atau dengan menghubungi talian perkhidmatan TNB di 1300-88-5454 yang beroperasi dari 8.00 pagi hingga 11.00 malam.

Sudah tiba masanya untuk anda mengetahui apakah itu power factor.

Panduan Keselamatan Elektrik Semasa Banjir

PANDUAN KESELAMATAN ELEKTRIK SEMASA BANJIR

Berikutan dari paras air semakin naik di sebahagian negeri-negeri di pantai timur Malaysia, berikut adalah siaran akhbar yang dikeluarkan oleh pihak TNB sebagai langkah berjaga-jaga dalam menangani situasi yang tidak dijangka. Panduan keselamatan elektrik ini tidak hanya tertumpu pada musim banjir sahaja malah ianya juga boleh diguna-pakai dalam situasi diluar musim banjir apabila berlakunya kenaikan paras air di kediaman anda.

bahaya banjir

Tindakan 2 orang yang mengharungi banjir seperti didalam gambar di atas mungkin mengundang bahaya kepada diri mereka kerana kita tidak tahu apakah yang berada di dasar laluan mereka, mungkin parit, lubang besar ataupun kabel elektrik. Elakkan dari bahaya di musim banjir.

SIARAN AKHBAR (PRESS STATEMENT) S.A. 2013/12/110 (HQ)

Tenaga Nasional Berhad (TNB) ingin menasihatkan orang awam agar sentiasa
mengutamakan ciri-ciri keselamatan elektrik semasa banjir yang kini melanda beberapa kawasan di Negeri Terengganu, Pahang dan Johor. Orang awam diminta mematuhi panduan keselamatan seperti di bawah :
 

Peralatan elektrik
· Berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik apabila paras air naik di dalam rumah.
· Pastikan suis utama ditutup sekiranya diarah untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara,.
· Jangan sesekali menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah atau lembab.
· Pastikan perkakas elektrik yang terendam dalam air banjir diperiksa dan diuji terlebih dahulu oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga sebelum menggunakannya semula.


Pepasangan TNB
· Sentiasa awasi tindak-tanduk anak-anak anda agar tidak menghampiri tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus. Jangan membaiki sendiri kerosakan tersebut.
· Sekiranya terdapat dawai elektrik yang terputus atau tiang elektrik yang tumbang, segera hubungi pejabat TNB yang berdekatan atau TNB CareLine 15454.
· Jauhi kawasan di mana paras air naik dan mencecah dawai voltan rendah dan voltan tinggi bagi mengelakkan kemungkinan renjatan elektrik. Laporkan segera perkara tersebut ke pejabat TNB berdekatan.
· Jangan menghampiri wayar elektrik yang terputus dan berada di atas tanah kerana wayar tersebut mungkin masih mempunyai arus elektrik.
· Jangan cuba mengalihkan wayar elektrik yang terputus dengan tangan atau alat yang boleh mengalirkan arus elektrik.
· Jangan menghampiri kawasan berlopak yang terdapat wayar putus di dalamnya kerana kemungkinan arus elektrik masih mengalir.
 

Tindakan TNB
TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa. Sekiranya paras air mencecah paras yang membahayakan, TNB akan menutup bekalan elektrik ke pencawang, pepasangan dan wayar elektrik di kawasan terlibat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin. Bekalan elektrik akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat. Orang ramai boleh menghubungi pejabat TNB berdekatan atau TNB CareLine 15454 serta-merta jika mereka terlihat keadaan seperti di atas berlaku supaya tindakan segera boleh diambil demi keselamatan umum.


Dikeluarkan di Kuala Lumpur pada 3 Disember 2013
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Md Derus Bunchit (019-2662296), No Hanim Idris (019-2617617) atau Maizatul Nadiah Saadon (017-3816602)


Oleh yang demikian adalah wajar kita sebagai pengguna mematuhi dan mengikuti panduan keselamatan elektrik semasa banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini yang boleh mengancam nyawa.

Monday

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Malaysia bakal menjadi hub bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) apabila bakal mendapat 3 pelaburan dalam sektor automotif. Ketiga-tiga pelabur ini akan mengeluarkan kenderaan tersebut dalam jenama masing-masing bagi pasaran Asia Tenggara. Bersamalah kita mendoakan agar ini menjadi realiti agar harga pasaran kereta dapat dikurangkan.

Berita Harian : 4/2/2013
Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima tiga lagi pelaburan baru dalam sektor automotif yang berjumlah kira-kira RM2.5 bilion tahun ini.

kenderaan cekap tenaga

Pelaburan daripada syarikat automotif terkemuka dunia itu bertujuan menjadikan negara ini sebagai hab bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) jenama masing-masing untuk pasaran Asia Tenggara.
Mengikut sumber industri, ketiga-tiga syarikat automotif itu sudah pun memuktamadkan keputusan pelaburan masing-masing dan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan.

Katanya, jika diluluskan kelak, dua daripada pengeluar automotif dan pembuat perkakasan asal (OEM) itu akan mengumumkan pelaburan mereka tahun ini, manakala sebuah lagi menjelang akhir tahun atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Tertarik dengan inisiatif
“Masih ada banyak lagi pengeluar automotif terkemuka dunia yang belum mempunyai tapak operasi di Asia. Maka apabila Malaysia membuka pintu menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP) yang disemak semula, mereka melihatnya sebagai peluang dan tertarik dengan inisiatif yang disediakan kerajaan.

“Perlu diingat ini adalah pelaburan permulaan iaitu yang membabitkan pembangunan rangkaian dan kemudahan pengeluaran. Jumlahnya adalah lebih besar jika diambil kira pelaburan bagi pembangunan model kenderaan mereka setiap tahun. 
“Setiap tahun pengeluar automotif itu akan memperuntukkan pelaburan tambahan antara RM500 juta hingga RM700 juta bagi membangunkan model baru,” kata sumber industri itu kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, ada tiga hingga empat lagi syarikat automotif antarabangsa yang menyatakan minat menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi mereka di Asia Tenggara.

Katanya, syarikat berkenaan menyasarkan untuk memulakan operasi di Malaysia selepas 2015 apabila mereka selesai menjalankan kajian pulangan pelaburan (ROI) dan membentangkan kertas cadangan kepada pihak pengurusan masing-masing.


Belum muktamad pelaburan
Beliau berkata, syarikat itu masih belum memuktamadkan pelaburan mereka, namun berdasarkan maklumat awal pelaburan keseluruhan pelabur itu secara kasarnya adalah antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.

“Apabila kerajaan serius mempromosikan negara sebagai hab EEV, maka mereka pun serius menimbangkan peluang pelaburan ini. Mereka tahu Malaysia mempunyai pasaran yang kecil tetapi berpotensi sebagai gerbang ke pasaran serantau.

“Ada antara mereka yang menyasarkan pengeluaran untuk pasaran Malaysia hanya sekitar 30 hingga 40 peratus dan selebihnya untuk eksport,” katanya.

Sumber industri itu menegaskan, jumlah pelaburan baru ke dalam industri automotif itu meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran meningkatkan sumbangan industri itu kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 10 peratus menjelang 2020. 

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Merupakan sebuah university swasta pertama di Malaysia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), salah sebuah syarikat utility terbesar di rantau Asia Tenggara. TNB dilahirkan dari langkah kerajaan Malaysia yang telah menswastakan Lembaga Letrik Negara (LLN). Kini TNB mengorak langkah dengan mewujudkan Universiti Tenaga Nasional bagi melahirkan golongan professional bagi memacu inspirasi kerajaan ke arah pembenihan modal insan.

UNITEN bermula pada tahun 1976 sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), sebuah pusat latihan korporat untuk TNB (dahulunya LLN). Seterusnya, pada tahun 1994, ILSAS telah berubah menjadi institute pengajian tinggi dan dinamakan Insitut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional (IKATAN). Pusat akademik ini menawarkan program akademik dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan perniagaan di peringkat ijazah dan sarjana melalui program berkembar dengan universiti tempatan dan luar negara.

Universiti Tenaga Nasional agak unik kerana menyediakan kedua-dua program akademik dan latihan didalam kampus yang sama. UNITEN bukan sahaja menyediakan graduan untuk menjadi profesional yang berpengetahuan dan berdaya saing, tetapi juga membangunkan mereka secara holistik sebagai individu yang serba boleh dengan sifat intelek yang luas.
Walaupun agak baru universiti, UNITEN bergerak pantas ke arah mewujudkan dirinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau . Sokongan dan komitmen yang diterima daripada TNB telah membolehkan ia untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur kampus.

Imej TNB digambarkan oleh keunikan UNITEN melalui program-program kejuruteraan yang menjurus ke arah perniagaan teras TNB. Ini terbukti dengan pengenalan program kejuruteraan kuasa dan penubuhan Pusat Kejuruteraan Kuasa yang mencerminkan komiten UNITEN dalam pembangunan industri tenaga.

Universiti Tenaga Nasional menyediakan platform lebih daripada sekadar pendidikan berdasarkan teori. Ia akan memastikan bahawa graduan dilengkapi dengan semua kemahiran yang perlu ada dalam diri pelajar dan pengalaman mempraktikkan ilmu yang dipelajari. Ini terbukti dalam pengisian kursus projek dalam semua program akademik yang ditawarkan di universiti. Pelajar akan dihantar untuk menjalani latihan praktikal di industri yang berkaitan untuk memastikan bahawa universiti benar-benar menghasilkan graduan profesional yang berkualiti. UNITEN turut memilih staf-staf akademik dengan latar belakang akademik yang mantap dan pengalaman industri yang membolehkan pelajar mendapat ilmu yang terbaik dari tenaga pengajar. Konsep pembelajaran yang unik inilah yang membezakan UNITEN daripada institusi pengajian yang lain.