Monday

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Malaysia bakal menjadi hub bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) apabila bakal mendapat 3 pelaburan dalam sektor automotif. Ketiga-tiga pelabur ini akan mengeluarkan kenderaan tersebut dalam jenama masing-masing bagi pasaran Asia Tenggara. Bersamalah kita mendoakan agar ini menjadi realiti agar harga pasaran kereta dapat dikurangkan.

Berita Harian : 4/2/2013
Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima tiga lagi pelaburan baru dalam sektor automotif yang berjumlah kira-kira RM2.5 bilion tahun ini.

kenderaan cekap tenaga

Pelaburan daripada syarikat automotif terkemuka dunia itu bertujuan menjadikan negara ini sebagai hab bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) jenama masing-masing untuk pasaran Asia Tenggara.
Mengikut sumber industri, ketiga-tiga syarikat automotif itu sudah pun memuktamadkan keputusan pelaburan masing-masing dan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan.

Katanya, jika diluluskan kelak, dua daripada pengeluar automotif dan pembuat perkakasan asal (OEM) itu akan mengumumkan pelaburan mereka tahun ini, manakala sebuah lagi menjelang akhir tahun atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Tertarik dengan inisiatif
“Masih ada banyak lagi pengeluar automotif terkemuka dunia yang belum mempunyai tapak operasi di Asia. Maka apabila Malaysia membuka pintu menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP) yang disemak semula, mereka melihatnya sebagai peluang dan tertarik dengan inisiatif yang disediakan kerajaan.

“Perlu diingat ini adalah pelaburan permulaan iaitu yang membabitkan pembangunan rangkaian dan kemudahan pengeluaran. Jumlahnya adalah lebih besar jika diambil kira pelaburan bagi pembangunan model kenderaan mereka setiap tahun. 
“Setiap tahun pengeluar automotif itu akan memperuntukkan pelaburan tambahan antara RM500 juta hingga RM700 juta bagi membangunkan model baru,” kata sumber industri itu kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, ada tiga hingga empat lagi syarikat automotif antarabangsa yang menyatakan minat menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi mereka di Asia Tenggara.

Katanya, syarikat berkenaan menyasarkan untuk memulakan operasi di Malaysia selepas 2015 apabila mereka selesai menjalankan kajian pulangan pelaburan (ROI) dan membentangkan kertas cadangan kepada pihak pengurusan masing-masing.


Belum muktamad pelaburan
Beliau berkata, syarikat itu masih belum memuktamadkan pelaburan mereka, namun berdasarkan maklumat awal pelaburan keseluruhan pelabur itu secara kasarnya adalah antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.

“Apabila kerajaan serius mempromosikan negara sebagai hab EEV, maka mereka pun serius menimbangkan peluang pelaburan ini. Mereka tahu Malaysia mempunyai pasaran yang kecil tetapi berpotensi sebagai gerbang ke pasaran serantau.

“Ada antara mereka yang menyasarkan pengeluaran untuk pasaran Malaysia hanya sekitar 30 hingga 40 peratus dan selebihnya untuk eksport,” katanya.

Sumber industri itu menegaskan, jumlah pelaburan baru ke dalam industri automotif itu meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran meningkatkan sumbangan industri itu kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 10 peratus menjelang 2020. 

0 comments:

Post a Comment

Komen Anda?