Friday

Kes Penipuan Penggunaan Tenaga Solar

Antara yang terkini dalam melariskan penjualan panel solar melibatkan pembeli dari Melaka yang telah kerugian kira-kira RM50,000. Kes penipuan penggunaan tenaga solar boleh berlaku apabila pihak penjual mengambil kesempatan terhadap pembeli yang sememangnya tidak tahu selok-belok teknikal produk panel solar yang diperkatakan oleh jurujual. Ayat-ayat memikat seperti pulangan balik antara RM900 hingga RM1,200 sebulan dalam masa 21 tahun menjadi senjata utama mereka.

Saya seorang yang teknikal dan pernah saya lawati tapak pameran syarikat yang menjual panel solar dan mengajukan soalan mengenai "berapa lamakah panel solar ini mampu menjana tenaga secara optimum". Jawapan yang diberi ialah "ianya bergantung kepada jenis panel solar yang dibeli. Secara relatifnya, panel solar yang lebih besar akan mampu menjana tenaga solar yang lebih besar untuk jangkamasa yang lebih panjang". Perkara lain yang perlu diambilkira ialah dari negara manakah produk itu dikeluarkan.

Jadi, tepuk dada tanyalah selera. Ikuti beberapa langkah perlu berikut :
  • Jangan terpedaya dengan taktik penjual yang menyajikan pakej murah. Ada yang semurah RM20,000 pun ada. Pakej panel solar ini kebiasaannya mahal sekitar RM30,000 ke atas. Jika betul ianya murah pastikan tiada caj-caj lain disebaliknya.
  • Pembelian panel solar ini tertakluk kepada kuota yang dikawal oleh SEDA (Sustainable Energy Development Authority Malaysia). Jadi jangan bayar sebarang bentuk deposit. Hanya berikan dokumen-dokumen perlu sahaja. Ditakuti jika kuota telah habis untuk tahun tersebut dan deposit juga telah dibayar, kemungkinan anda terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kembali wang deposit. 
  • Pihak penjual solar akan menyediakan perjanjian REPPA (Renewable Energy Power Purchase Agreement) diantara anda dan TNB. Diperingkat ini, bayaran deposit perlu dibayar.
  • Setelah itu bayaran seterusnya perlu dibayar setelah selesai kerja-kerja pemasangan.
  • Peringkat terakhir ialah pihak TNB akan hadir untuk melakukan kerja-kerja Testing and Commissioning dan meter PV akan dipasang dirumah anda. Maka dengan rasminya penjualan tenaga dari anda kepada pihak TNB pun bermula.
Diharap anda dapat sedikit-sebanyak ilmu dalam mengelakkan kes penipuan penggunaan tenaga solar yang boleh terjadi kepada anda.

Dibawah ini dipetik dari Utusan Melayu kes kejadian yang seumpamanya.


MELAKA 3 Mei - Seorang juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB), kerugian kira-kira RM50,000 akibat terpedaya dengan perkhidmatan pemasangan panel solar yang ditawarkan oleh sebuah syarikat yang beralamat di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Abd Rahman Md. Siah, 47, berkata, ketika dia mengunjungi sebuah pasaraya di bandar Melaka pada pertengahan Disember tahun lalu, dia didatangi seorang jurujual yang mempromosi perkhidmatan berkenaan dengan harga RM60,000.

Menurutnya, dia sememangnya berminat untuk memasang panel solar di bumbung rumahnya kerana mengetahui pemasangan tersebut mampu memberi pulangan antara RM900 hingga RM1,200 sebulan selama 21 tahun oleh TNB bagi penjualan tenaga diperbaharui.

Katanya, dia turut berasa kesal kerana penipuan itu telah menyebabkan wang simpanan terkumpulnya sebanyak RM15,000 yang dilaburkan semata-mata untuk memasang panel solar itu lebur.

"Penerangan oleh lelaki berkenaan dengan menunjukkan katalog perkhidmatan ditawarkan itu membuatkan saya lebih tertarik dan yakin selain bersetuju membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,000.

"Untuk membiayai kos pemasangan panel solar tersebut juga saya sanggup membuat pinjaman peribadi sebanyak RM40,000 dengan sebuah bank," katanya ketika ditemui di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di Ayer Keroh, di sini semalam.

Abd Rahman berkata, empat hari kemudian, lelaki berkenaan memintanya menjelaskan 10 peratus bagi bayaran yuran proses pemasangan iaitu sebanyak RM4,068 .

Katanya, pada pertemuan itu juga jurujual tersebut turut menjanjikan tawaran pengurangan harga panel solar kepada RM50,000 dan penapis air paip secara percuma.

"Dia meminta saya menjelaskan bayaran penuh untuk pemasangan panel solar itu sebanyak RM44,000 iaitu RM10,000 secara tunai dan selebihnya melalui cek.

"Pada masa yang sama lelaki itu turut berjanji akan menghantar kontraktor bermula 26 hingga 28 Februari untuk melakukan pemasangan berkenaan namun tidak juga muncul sehingga kini," katanya.

Abd Rahman, berkata dia berharap individu tersebut dapat dikenakan tindakan segera supaya tiada lagi orang ramai yang menjadi mangsa penipuan syarikat itu.

"Saya juga berharap duit tersebut dapat dikembalikan untuk membolehkan saya meneruskan hasrat memasang panel solar di bumbung rumah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka, Amir Hamzah Ab Aziz berkata, pihaknya akan mengambil tindakan perundangan terhadap individu dan syarikat tersebut secepat mungkin.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Jenayah

© Utusan Melayu (M) Bhd



PUTRAJAYA, 7 Nov (Bernama) –- Perlaksanaan Program Kelestarian Dicapai menerusi Kecekapan Tenaga (SAVE) telah meningkatkan perkongsian pasaran produk cekap tenaga lima bintang seperti peti sejuk dan penyaman udara sehingga 40 peratus.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata di bawah program itu, kerajaan memberikan rebat untuk pembelian peti sejuk dan penyaman udara ini oleh individu dan pertukaran pendingin cekap tenaga oleh pemilik bangunan komersil.

"Perkongsian pasaran bagi produk ini telah meningkat kepada 40 peratus daripada sasaran awal 25 peratus dan 26 peratus, sepanjang 12 bulan ini," katanya pada Sidang Kemuncak Tenaga Mapan 2012 di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan oleh ketua setiausaha kementeriannya Datuk Loo Took Gee.

Program SAVE termasuk rebat RM200 bagi pembelian unit peti sejuk, RM100 bagi penyaman udara dan RM200 bagi setiap tan pendingin kegunaan komersil. Rebat ini adalah yang pertama antara banyak lagi inisiatif untuk meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan kegunaan tenaga yang berkesan.

-- BERNAMA