Monday

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Pembuatan Kenderaaan Cekap Tenaga (EEV)

Malaysia bakal menjadi hub bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) apabila bakal mendapat 3 pelaburan dalam sektor automotif. Ketiga-tiga pelabur ini akan mengeluarkan kenderaan tersebut dalam jenama masing-masing bagi pasaran Asia Tenggara. Bersamalah kita mendoakan agar ini menjadi realiti agar harga pasaran kereta dapat dikurangkan.

Berita Harian : 4/2/2013
Kuala Lumpur: Malaysia bakal menerima tiga lagi pelaburan baru dalam sektor automotif yang berjumlah kira-kira RM2.5 bilion tahun ini.

kenderaan cekap tenaga

Pelaburan daripada syarikat automotif terkemuka dunia itu bertujuan menjadikan negara ini sebagai hab bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV) jenama masing-masing untuk pasaran Asia Tenggara.
Mengikut sumber industri, ketiga-tiga syarikat automotif itu sudah pun memuktamadkan keputusan pelaburan masing-masing dan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan.

Katanya, jika diluluskan kelak, dua daripada pengeluar automotif dan pembuat perkakasan asal (OEM) itu akan mengumumkan pelaburan mereka tahun ini, manakala sebuah lagi menjelang akhir tahun atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Tertarik dengan inisiatif
“Masih ada banyak lagi pengeluar automotif terkemuka dunia yang belum mempunyai tapak operasi di Asia. Maka apabila Malaysia membuka pintu menerusi Dasar Automotif Nasional (NAP) yang disemak semula, mereka melihatnya sebagai peluang dan tertarik dengan inisiatif yang disediakan kerajaan.

“Perlu diingat ini adalah pelaburan permulaan iaitu yang membabitkan pembangunan rangkaian dan kemudahan pengeluaran. Jumlahnya adalah lebih besar jika diambil kira pelaburan bagi pembangunan model kenderaan mereka setiap tahun. 
“Setiap tahun pengeluar automotif itu akan memperuntukkan pelaburan tambahan antara RM500 juta hingga RM700 juta bagi membangunkan model baru,” kata sumber industri itu kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, beliau berkata, ada tiga hingga empat lagi syarikat automotif antarabangsa yang menyatakan minat menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi mereka di Asia Tenggara.

Katanya, syarikat berkenaan menyasarkan untuk memulakan operasi di Malaysia selepas 2015 apabila mereka selesai menjalankan kajian pulangan pelaburan (ROI) dan membentangkan kertas cadangan kepada pihak pengurusan masing-masing.


Belum muktamad pelaburan
Beliau berkata, syarikat itu masih belum memuktamadkan pelaburan mereka, namun berdasarkan maklumat awal pelaburan keseluruhan pelabur itu secara kasarnya adalah antara RM2 bilion hingga RM3 bilion.

“Apabila kerajaan serius mempromosikan negara sebagai hab EEV, maka mereka pun serius menimbangkan peluang pelaburan ini. Mereka tahu Malaysia mempunyai pasaran yang kecil tetapi berpotensi sebagai gerbang ke pasaran serantau.

“Ada antara mereka yang menyasarkan pengeluaran untuk pasaran Malaysia hanya sekitar 30 hingga 40 peratus dan selebihnya untuk eksport,” katanya.

Sumber industri itu menegaskan, jumlah pelaburan baru ke dalam industri automotif itu meletakkan Malaysia pada kedudukan kukuh untuk mencapai sasaran meningkatkan sumbangan industri itu kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 10 peratus menjelang 2020. 

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)

Merupakan sebuah university swasta pertama di Malaysia dan dimiliki sepenuhnya oleh syarikat gergasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), salah sebuah syarikat utility terbesar di rantau Asia Tenggara. TNB dilahirkan dari langkah kerajaan Malaysia yang telah menswastakan Lembaga Letrik Negara (LLN). Kini TNB mengorak langkah dengan mewujudkan Universiti Tenaga Nasional bagi melahirkan golongan professional bagi memacu inspirasi kerajaan ke arah pembenihan modal insan.

UNITEN bermula pada tahun 1976 sebagai Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), sebuah pusat latihan korporat untuk TNB (dahulunya LLN). Seterusnya, pada tahun 1994, ILSAS telah berubah menjadi institute pengajian tinggi dan dinamakan Insitut Kejuruteraan Teknologi Tenaga Nasional (IKATAN). Pusat akademik ini menawarkan program akademik dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan perniagaan di peringkat ijazah dan sarjana melalui program berkembar dengan universiti tempatan dan luar negara.

Universiti Tenaga Nasional agak unik kerana menyediakan kedua-dua program akademik dan latihan didalam kampus yang sama. UNITEN bukan sahaja menyediakan graduan untuk menjadi profesional yang berpengetahuan dan berdaya saing, tetapi juga membangunkan mereka secara holistik sebagai individu yang serba boleh dengan sifat intelek yang luas.
Walaupun agak baru universiti, UNITEN bergerak pantas ke arah mewujudkan dirinya sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau . Sokongan dan komitmen yang diterima daripada TNB telah membolehkan ia untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur kampus.

Imej TNB digambarkan oleh keunikan UNITEN melalui program-program kejuruteraan yang menjurus ke arah perniagaan teras TNB. Ini terbukti dengan pengenalan program kejuruteraan kuasa dan penubuhan Pusat Kejuruteraan Kuasa yang mencerminkan komiten UNITEN dalam pembangunan industri tenaga.

Universiti Tenaga Nasional menyediakan platform lebih daripada sekadar pendidikan berdasarkan teori. Ia akan memastikan bahawa graduan dilengkapi dengan semua kemahiran yang perlu ada dalam diri pelajar dan pengalaman mempraktikkan ilmu yang dipelajari. Ini terbukti dalam pengisian kursus projek dalam semua program akademik yang ditawarkan di universiti. Pelajar akan dihantar untuk menjalani latihan praktikal di industri yang berkaitan untuk memastikan bahawa universiti benar-benar menghasilkan graduan profesional yang berkualiti. UNITEN turut memilih staf-staf akademik dengan latar belakang akademik yang mantap dan pengalaman industri yang membolehkan pelajar mendapat ilmu yang terbaik dari tenaga pengajar. Konsep pembelajaran yang unik inilah yang membezakan UNITEN daripada institusi pengajian yang lain.